SEMALAM saya dikunjungi Chef K, hos rancangan masakan, Jaguh Kampung di
TV Astro. Dia kawan lama saya. Semasa zaman sekolah, kami seasrama.
Selepas itu tiada khabar berita hinggalah kami bertemu semula beberapa
tahun lepas di pasar malam berhampiran rumah saya. Rupa-rupanya kami
berjiran. Ketika itu, dia berulang alik bekerja di Bali.
Sepanjang tempoh berbelas tahun terputus hubungan, Chef K yang saya dan
rakan-rakan panggil Wak Kasdi ketika zaman sekolah, berkelana ke
serata dunia dengan senduk dan apronnya.
Dia pernah bekerja di Jepun, Norway dan London. Setelah jemu berulang
alik ke Bali sebagai dapur global yang terakhir, Kasdi kini jadi tauke
rempah. Di penghujung zaman sekolah, saya terkejut apabila dia beritahu
mahu sambung belajar dalam bidang kulinari.
Sebagai pemain ragbi, tidak ada ciri-ciri lelaki lembut, saya rasa dia
seperti masuk ke dunia yang salah jika memilih bidang itu. "Bukan hang
saja Mat, mak aku pun tak bagi aku jadi tukang masak," katanya.
Atas sebab itu, kata Kasdi, dia terpaksa tulis jurusan perbankan
sebagai pilihan pertama dalam borang UPUnya, demi untuk jaga hati si
ibu. "Akhirnya aku pilih ke dapur juga," ujarnya sambil tertawa.
Berbual tanpa teh tarik dalam persekitaran yang sejuk di meja kerja
saya, Kasdi tiba-tiba hangatkan suasana dengan berkata, dia rasa pelik
melihat ramai wanita sekarang sudah tidak ambil kisah dengan hal-hal
dapur.
"Aku bercakap ni bukan sebab aku chef tapi frust, sedih kerana ramai
orang sekarang tak faham apa makna dapur, air tangan dalam kehidupan
kita.
Depa ingat, kita makan hanya untuk isi perut. Lapar, makan, lapar,
makan tak faham falsafah di sebalik penyediaan makanan, kaitannya dengan
hubungan hati, kebahagiaan dan kesetiaan dalam hidup kita." Menarik
juga pandangannya.
Kata Kasdi, kerana anggap dapur hanya berkaitan dengan mengisi perut,
ramai orang, termasuk ibu-ibu memilih jalan mudah, beli sahaja makanan
siap untuk keluarga.
"Aku cakap ni bukan soal khasiat tapi ramai tak sedar, makanan beli
boleh jauhkan hubungan keluarga." Sebagai contoh, katanya, kenalannya,
seorang wanita 40an, punya anak empat, langsung tidak tahu masak.
"Dia mengaku pada aku, masak nasi secara manual, pun dia tak reti."
Wanita itu, kata Kasdi, menyerahkan segala urusan dapur kepada suaminya.
Setiap hari, suamilah yang masak untuk keluarga.
Apa yang dia perhatikan, juga diakui sendiri oleh wanita itu, hubungan
anak-anak dengan suami, jauh lebih rapat berbanding dirinya.
"Inilah yang orang tak faham.Bila disebut air tangan emak, kita ingat, sebab emak pandai masak.
Bukan itu tapi soal sentuhan hati, memasak dari hati. Itulah yang
anak-anak makan, jadi darah daging dan akan depa ingat sampai mati.
Itulah makna air tangan.
Kalau ayah yang masak, anak-anak akan lebih dekat dengan ayah. Nasiblah
kalau emak tak pandai masak," katanya. Sedap atau tidak, kata Kasdi,
bukan persoalan.
"Kalau emak sendiri tak pernah masuk dapur, macam mana nak masak untuk
anak-anak. Macam mana anak-anak nak dengar kata kalau emak asyik 'tapau'
nasi kedai mamak, jadilah anak-anak lebih rapat dengan mamak," katanya.
Wanita zaman sekarang, kata Kasdi, yang hidup terlalu berorientasikan kebendaan, jadi punca mereka tidak suka masuk dapur.
"Zaman sekolah, berkurung dalam bilik atas alasan ulang kaji pelajaran,
semasa di universiti, siang malam makan nasi bungkus, sudah kahwin,
baru nak masuk dapur. Akhirnya pujuk suami ajak makan nasi kedai."
Pernah katanya, semasa mengunjungi rakannya yang sudah tiga tahun
berkahwin, dia diberitahu apa yang pernah digunakan di rumah itu hanya
alat pemanas air sahaja. Dapur tak pernah sekali pun menyala.
"Bila aku tanya, depa jawab, siang malam makan di kedai. Tak tahulah
macam mana nak bentuk keluarga kalau macam itu?" katanya. Apa yang lebih
memalukan, kata Kasdi, wanita sekarang, sudahlah tidak tahu memasak,
tidak segan silu pula mengaku.
Tidak tahu masak sudah dianggap biasa, bukan lagi sesuatu yang memalukan wanita zaman ini!
sumber: http://www.sinarharian.com.my/bila-wanita-tak-suka-pegang-senduk-1.184133
..................................Subhanallah,Alhamdulillah.Lailahaillallah,Allahuakbar.................................
Popular Posts
-
Aku bertolak dari rumah kakak aku di kulim…di poli sultanah bahiyah…kat quarters…dan tempat yang dituju adalah di komtar,bilik anggeri...
-
sekarang ni dah banyak gadis2...yang pakai separuh islam separuh bukan islam : Dan yang terbaru aku jumpa di akhbar tempatan: ...
Saturday, November 9, 2013
Ilmu Khas Buat Para Isteri: Bila wanita tak suka pegang senduk
Labels:
hablumminannas,
minda,
umum,
usaha
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Custom Search
No comments:
Post a Comment