Popular Posts

Thursday, November 13, 2008

assignment sosiologi

Aspek yang dikaji dan Tugas Guru Untuk Perubahan yang Positif.

Bahagian Satu.
Kesediaan guru sebelum proses pengajaran dan pembelajaran.

• Guru tidak membuat rancangan pengajaran.

Masalah ini jika diperhatikan pada masa sekarang, guru tidak gemar membuat rancangan pengajaran. Pada masa sekarang, didapati guru-guru langsung tidak membuat rancangan pengajaran, hanya sebahagian kecil sahaja yang berdedikasi untuk membuat rancangan pengajaran setiap sebelum bermula sesi kelas.
Manakala sebahagian besar, hanya mula membuat rancangan pengajaran pada hujung waktu iaitu sebelum penghantaran buku rancangan pengajaran kepada pengetua untuk pemeriksaan. Rancangan pengajaran juga dibuat semasa sebelum kedatangan nazir dan pengawai pejabat pendidikan daerah.
Sikap sebegini menyebabkan rancangan pengajaran yang dibuat secara ’pukal’ ini tidak berkualiti, dan hanya sekadar coretan seperti diari harian. Rancangan pengajaran begini juga tidak bermakna, kerana ia dibuat setelah sesi pengajaran berlangsung.
Guru seharusnya memahami tujuan membuat rancangan pengajaran, guru seharusnya membahagikan masa harian mereka, untuk satu masa tertentu untuk merancang pengajaran mereka. Pengajaran yang terancang dan bersistematik, akan memudahkan objektif pengajaran tercapai. Perancangan awal yang bersistematik juga memudahkan pelajar untuk memahami isi kandungan pengajaran.








• Guru tidak membuat pemeriksaan terhadap alatan-alatan dan ABM serta keadaan kelas sebelum sesi kelas bermula.

Jika rancangan pengajaran yang di rekabentuk oleh guru amat sempurna dan bersistematik, rancangan pengajaran itu akan menjadi sia-sia, sekiranya perkara yang tidak dikehendaki berlaku. Maksud perkara yang tidak dikehendaki berlaku, ialah sekiranya pemeriksaan terhadap alatan dan suasana untuk sesi pembelajaran dan pengajaran mempunyai masalah, ini bermakna sesi pengajaran akan terganggu.
Alatan seperti lcd dan komputer haruslah diperiksa dahulu keadaannya sebelum kelas bermula supaya dapat beorfungsi dengan baik untuk sesi pengajaran nanti. Contohnya didalam mata pelajaram kemahiran hidup, alatan-alatan bertukang haruslah diperiksa dahulu keadaannya, supaya murid dapat belajar menggunakan alatan pertukangan itu dengan lancar. Alat pemotong seperti gergaji yang tumpul akan mengurangkan motivasi pelajar. Apa yang lebih teruk adalah jika kecederaan berlaku kerana keadaan alat-alat pertukangan tumpul dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Jika guru ingin menggunakan layar putih di dalam sesi pengajarannya yang menggunakan slaid power point sekalipun, pencahayaan bengkel atau kelas haruslah sesuai. Jarak layar putih dari para pelajar juga haruslah sesuai dengan menggunakan formula 2-6T.
Sekiranya guru menggunakan komputer untuk sesi pengajaran, keadaan elektrik di dalam kelas atau bengkel juga haruslah dipastikan baik dan tidak berlaku litar pintas atau ketiadaan elektrik.
Semua alatan dan suasana pembelajaran dan pengajaran ini, dapat dipastikan dalam keadaan baik dan sesuai, jika guru membuat pemeriksaan awal sebelum sesi pengajaran bermula. Sikap bersedia dan memeriksa sebelum satu sesi pengajaran, adalah satu sikap yang amat penting dan harus dipupuk dalam peribadi seseorang guru.



• Guru tidak mempunyai ilmu yang lengkap mengenai isi pengajaran .

Isi pelajaran yang telah diberikan kementerian adalah tidak mencukupi untuk proses menjana kreativi minda pelajar. Seringkali pelajar menghafal buku teks semata-mata untuk menjawab soalan perperiksaan. Menghafal walaupun adalah satu proses kognitif, tetapi adalah satu proses dimana ilmu yang dihafal pelajar, dalam jangkamasa yang singkat, dan tujuannya hanya untuk satu-satu masa, tidak akan berkekalan dan sikap ini tidak akan memberi kesan yang baik kepada masa depan pelajar.
Seharusnya guru menggalakkan pelajar berfikir kreatif dan berfikir keluar dari format biasa yang disediakan kementerian. Pelajar haruslah difahamkan guru, yang mana ilmu adalah satu perkara yang teramat luas dan tiada sempadan, buku teks hanya dijadikan bahan rujukan, tetapi bukan hanya buku teks yang menjadi bahan rujukan.
Semasa sebelum proses pengajaran, guru haruslah memastikan ilmu yang ingin disampaikannya di dalam kelas telah dikuasai sepenuhnya, dan satu-satunya cara untuk guru menguasai kesemua isi pelajaran, adalah dengan guru memenuhkan dirinya dengan ilmu-ilmu yang lebih dari format silibus pelajaran yang disediakan kementerian.
Apabila pelajar mempunyai soalan tentang isi pelajaran, dengan mudahnya guru boleh menjawab dengan ketegasan dan keyakinan. Ketegasan dan keyakinan yang terpapar pada personaliti guru akan meningkatkan lagi motivasi pelajar untuk belajar. Selain itu guru juga dapat menambahkan daya tarikan untuk meningkatkan lagi motivasi pelajar dalam proses pengajaran, dengan menambahkan isi-isi yang sesuai yang terdapat diluar format silibus, yang dirasakan guru penting untuk pelajaran para pelajar.
Jadi tidak dapat tidak, guru wajib menguasai ilmu yang terdapat didalam silibus yang disediakan, bahkan guru wajib menguasai ilmu-ilmu yang terkini sesuai dengan silibus mata pelajaran, kerana buku teks, tidak berubah setiap kalu teknologi terkini muncul. Guru wajib menguasai isi ilmu yang hendak disampaikan.

• Guru membawa masalah luar sekolah ke dalam kelas.

Sebagai manusia biasa, seorang guru mempunyai masalah-masalah peribadi yang tersendiri. Masalah timbul apabila guru membawa masalah-masalah peribadinya ke sekolah. Apabila masalah-masalah peribadi guru dibawa ke sekolah, ini akan menjejaskan prestasi guru untuk pengajaran, dan mengurangkan minat pelajar dalam sesi pembelajaran. Guru yang mengajar di dalam keadaaan emosinya yang tidak menentu atau dalam keadaan fizikalnya yang bermasalah akan menyebabkan pelajar tidak dapat belajar dengan tenang. Guru yang beremosi semasa mengajar akan menyebabkan pelajar mereka takut dan tidak mahu bersikap terbuka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar akan rasa takut, atau berasa berat untuk bertanyakan soalan mengenai isi pelajaran yang diajar guru.
Perasaan emosi seperti sikap marah-marah jika dipraktikkan di dalam pengajaran, akan menyebabkan para pelajar membenci guru tersebut, dan jika sikap membawa masalah ke sekolah ini menjadi tabiat seseorang guru, ada kemungkinan ada pelajar yang ponteng ke sekolah semata- mata kerana takutkan guru, atau bencikan guru tersebut.
Guru seharusnya mempunyai sikap mengasingkan masalah peribadi dan masalah rumahtangga sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam pintu pagar sekolah. Sikap ini haruslah bermula dengan guru set minda mereka untuk berfikiran positif dan untuk berfikiran tidak mementingkan diri sendiri. Guru harus berfikir akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh ibu-bapa para pelajar, guru harus merasakan satu sifat bertanggungjawab terhadap pendidikan para pelajar, kerana gurulah yang memberi kesan terhadap pelajaran para pelajar.
Sikap dan tabiat ’mind setting’ mengasingkan masalah peribadi dari sekolah ini haruslah dipraktikkan guru, semasa bertugas di sekolah.





Bahagian Dua.
Teknik pengajaran guru.

• Guru menggunakan teknik pengajaran yang sama pada setiap masa.

Pada masa sekarang, guru lazimnya terikat dengan satu stail pengajaran didalam kelas, ada guru yang sentiasa menggunakan slaid power point sahaja pada setiap kelas, ada guru yang sentiasa mengajar menggunakan kapur dan papan hitam sahaja, ada guru yang mengajar dengan hanya memberikan latihan tubi pada setiap kelas.
Masalah timbul kerana murid yang melalui proses pembelajaran melalui proses pengajaran yang sama pada setiap kali guru yang sama memasuki kelas, akan mengalami perasaan bosan. Pengajaran akan menjadi kurang efektif, dan objektif pengajaran akan semakin sukar untuk dicapai.
Apa yang guru harus lakukan ialah yang pertama, guru harus menganalisis keadaan pelajarnya dari masa ke semasa, dan cuba menafsirkan kaitan sikap pelajar di dalam kelas, dengan pengajarannya. Kedua, guru harus memperbanyakkan kaedah-kaedah dan teknik-teknik dalam pengajaran. Contohnya jika guru kerap mengajar menggunakan abm yang sama, seperti slaid power point pada setiap kelas, para pelajar akan mula mengantuk dan menset minda mereka tentang perasaan bosan yang akan mereka rasai setiap kali kelas guru tersebut. Jadi sekiranya guru sudahpun memahami keadaan murid melalui analisis dari masa ke semasa, guru seharusnya memperbagaikan abmnya, contohnya, guru boleh mula menggunakan carta dan jadual, atau menggunakan model dan prototaip, dalam pengajarannya. Guru ini juga boleh mengubah teknik pengajarannya dari proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, boleh juga dibuat proses pengajaran dan pembelajaran di luar kelas, dengan menggunakan keadaan dan bahan-bahan yang berada di luar kelas sebagai abm.





• Teknik pengajaran guru mensasarkan hanya kepada satu peringkat kemahiran belajar.

Setiap pelajar mempunyai peribadi yang tersendiri, dari segi jantina, umur, status
ekonomi dan sosial, takap kreativiti, pengalaman, stail pembelajaran, dan IQ masing-masing. Perbezaan antara para pelajar adalah satu perkara harus dititik beratkan oleh para guru. Malangnya dewasa kini, para guru mengajar didalam kelas dan tertumpu kepada satu tahap kemahiran belajar sahaja.
Jika para pelajar yang pandai menjadi fokus guru didalam teknik pengajarannya, maka para pelajar yang lemah dalam kemahiran belajar akan berasa tidak dihiraukan, dan masalah disiplin adalah yang selalu ditimbulkan oleh para pelajar yang merasa diri mereka di anak-tirikan. Jika para pelajar yang lemah dalam kemahiran belajar pula yang hanya menjadi fokus guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka para pelajar yang pandai pula, akan merasa bosan, dan para pelajar ini mungkin tidak akan menghiraukan gurunya di dalam kelas, tidak hadir ke kelas atau sekolah, atau belajar sendiri semasa di dalam kelas.
Perkara sebegini harus dihindarkan daripada berlaku. Para guru harus menganggap setiap pelajar adalah penting, dan setiap pelajar mempunyai identiti dan mereka semua berbeza dari segi kemahiran di dalam pembelajaran. Guru harus aktif di dalam kelas, mengambil berat kepada semua pelajar. Pada mulanya sesi pengajaran di lakukan dengan menggunakan teknik pengajaran yang berbentuk umum, dan seterusnya guru harus melakukan aktiviti pengukuhan bagi menganalisis kefahaman pelajar yang lemah, terhadap isi pengajaran guru, selepas itu guru harus juga meningkatkan motivasi pelajar yang bijak untuk menyertai aktiviti di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, mungkin dengan menanyakan soalan yang lebih mencabar bagi mengaktifkan tahap kemahiran belajar yang mereka kuasai. Guru harus pandai menggunakan teknik yang sesuai untuk pelajarnya yang mempunyai tahap kemahiran belajar yang berbeza-beza.
Kesimpulannya guru harus bijak menganalisis keadaan setiap pelajar, dan bijak mengawal motivasi setiap pelajar tidak kira dari peringkat yang terpaling rendah hingga ke peringkat yang paling tinggi.

• Guru tidak mementingkan kemahiran berkomunikasi dalam sesi pengajaran.

Aspek ini adalah merupakan aspek yang merupakan pokok pangkal kesemua aspek yang saya senaraikan di dalam kertas kajian ini. Segala masalah adalah berpunca dari komunikasi.
Kegagalan guru dalam mempertingkatkan kemahiran komunikasi masing-masing, adalah punca masalah timbul di dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran guru di dalam menganalisis keadaan pelajar, memilih teknik pengajaran, dan kesediaan guru sendiri untuk sesi pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar, dan secara tidak langsung ianya penting untuk membentuk peribadi dan sahsiah yang baik bagi para pelajar.
Menganalisis keadaan pelajar memerlukan ilmu komunikasi yang cukup dan haruslah sentiasa meningkat, dan tanpa menganalisis keadaan pelajar, guru tidak akan dapat memilih teknik pengajaran yang sesuai dan efektif kerana keadaan para pelajar telah di salah tafsir, dan seterusnya ini membawa kepada persediaan duru yang tidak lengkap.
Selain daripada itu, hubungan guru dengan pelajar haruslah baik. Para pelajar tidak seharusnya takut, dan tidak seharusnya juga kurang ajar dengan guru, tetapi haruslah menghormati guru dan memandang guru sebagai satu ikutan dan model. Untuk memastikan keadaan pelajar yang sebegini, tidak dapat tidak guru haruslah mempertingkatkan kemahiran komunikasinya dengan para pelajar.
Apabila guru menjadi model, atau lebih baik lagi menjadi idola para pelajar, maka sudah tentulah peribadi para pelajar akan menjadi lebih baik, dan sudah tentu pencapaian akademik mereka akan meningkat.
Mengikut model komunikasi Schramm 2, komunikasi berlaku, apabila lapangan pengalaman guru bertindih dengan lapangan pengalaman para pelajar. Dimana pelajar memahami apa yang disampaikan guru, tidak kiralah ilmu akademik ataupun ilmu sahsiah, komunikasi tetap berlaku. Apabila guru menyesuaikan lapangan pengalamannya mengikut pengalaman para pelajar, maka komunikasi berlaku, dan ilmu para pelajar akan meningkat, dan semakin lama, lapangan pengalaman para pelajar akan semakin luas, dan seterusnya pelajar akan semakin mudah belajar dengan guru tersebut, malah pelajar akan semakin menyamai sifat peribadi guru, yang seharusnya baik dan mulia.
Inilah kepentingan komunikasi di dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru wajib pandai berkomunikasi, dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang itu dengan menganalisis para pelajarnya setelah setiap sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Guru juga boleh menghadiri kursus-kursus komunikasi dan kursus-kursus yang berkaitan dengan interaksi guru dengan para pelajar di dalam pengajaran dan pembelajaran.


Rumusan:
Daripada analisis yang telah dilakukan, saya berpendapat bahawa guru boleh membawa banyak perubahan positif dalam pengajaran dan pembelajaran dalam banyak aspek, dan apa yang saya huraikan di dalam kertas kerja ini hanyalah daripada dua bahagian, iaitu dari aspek kesediaan guru, dan dari aspek teknik pengajaran guru itu sendiri. Daripada dua bahagian yang dibincangkan inipun sudah banyak perubahan yang boleh dibawa guru, bagi mendapatkan hasil yang positif di dalam pembelajaran.
Kesimpulannya, apa yang penting bagi seseorang guru, adalah sikap dan jati dirinya sendiri sebagai seorang pendidik. Pendidik yang sebenar sentiasa menilai keadaan dan prestasi diri sendiri di dalam semua aspek, dan tujuannya adalah supaya dapat menilai keadaan dan prestasi para pelajarnya sendiri, supaya guru dapat sentiasa berkembang dan memahirkan diri untuk memberi kebaikan, dan membantu dalam kecemerlangan pelajar.

No comments:

Masukkan Email disini, supaya anda dapat UPDATE!!!:

Delivered by FeedBurner

Custom Search